KEMAMAN: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencabar mana-mana wakil rakyat pembangkang yang berhasrat untuk beralih arah dan berada sebaris dengan kepimpinan blok kerajaan.

Katanya, mereka yang berbuat demikian akan dibayangi rasa bersalah kerana secara jelas telah melakukan pengkhianatan terhadap kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh parti.

"Siapa berani lompat, silakan. Tuan-tuan akan dikejar dengan keikhlasan jentera yang melakukan kerja-kerja pilihan raya sehingga memenangkan tuan-tuan sebagai ahli Parlimen.

"Keikhlasan ini akan mengejar sehingga ke lubang kubur kerana telah mengkhianati keikhlasan jentera yang telah bertungkus lumus memenangkan tuan-tuan. Para jentera tak rugi apa," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, di sini malam Jumaat.

Menurut Muhammad Sanusi, tindakan empat ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipengaruhi dua keadaan iaitu faktor penolakan dan faktor penarikan.

"Ada dua faktor, satu yang menarik, satu yang menolak. Kalau orang ni 'lompat' atas faktor menolak contoh mereka berpandangan PN, Bersatu Pas telah mengkhianati pengundi Melayu Islam di negara ini, mereka ada hak untuk 'melompat' kerana itu dipanggil faktor menolak mereka pergi.

"Tetapi, sepanjang pengetahuan kita, dari November (2022) hingga November tahun ini belum ada tindakan PN di peringkat negeri atau Persekutuan yang boleh dikategorikan sebagai mengkhianati Islam dan Melayu sehingga melayakkan mereka ini menolak sehingga pergi kepada parti lain,"katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat faktor penarikan yang dipercayai mempengaruhi ahli Parlimen berkenaan untuk beralih menyokong blok kerajaan.

"Pertama, mereka ditahan peruntukan setahun sekitar RM4 juta untuk melakukan khidmat di kawasan masing-masing, maka mereka kehabisan wang untuk meneruskan khidmat di kawasan mereka.

"Atas kesempitan itulah ada faktor yang menarik mereka apabila ada tawaran. Bila ditawarkan segelas air kepada musafir yang sedang kehausan tentulah dia pergi untuk minum air itu," ujar beliau.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyifatkan dosa yang lebih besar ditanggung oleh mereka yang bertindak menyekat peruntukan (ahli Parlimen) dan memancing dengan peruntukan-peruntukan berkenaan.

"Rasuah ke tak rasuah? Kita angkat tangan lawan rasuah, dia pun syarah lawan rasuah tapi hari-hari dok buat.

"Ini sah-sah rasuah tapi rasuah yang dibenarkan oleh (oleh mereka) kata depa. Pasal peruntukan ni duit kerajaan ikut suka kami nak beri kat sapa. Hangpa (kamu) cekik kawan tu sampai nak mati bila kata lepas, hangpa nak bagi.. Harta benda hangpa kata halal?

"Faktor penarikan inilah yang mengheret empat orang ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada pihak lawan. Itulah rasuah, kalau tak rasuah nak namakan sebagai apa lagi?

"Kalau kata ikhlas nak beri peruntukan kenapa tak bagi kepada 74 ahli Parlimen pembangkang. Pasal apa hangpa bagi empat orang saja. Pasal empat orang ni kata nak sokong hangpa. Hang sokong, aku bagi peruntukan. Itu rasuah lah," kata beliau.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar namun tetap akan taat, setia serta kekal sebagai ahli Bersatu.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan tindakan tersebut pada 12 Oktober disusuli Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, dua minggu kemudian. - Sinar Harian